Nabila Razali Dipilih Jadi Face BMC Family 360° - Kajang Bersiap Sedia!



Oleh: Noazni Ismail.

KAJANG, 21 OGOS 2025 - Sebuah pesta dan karnival keluarga berskala besar bertemakan "A Step to the Future" bakal memeriahkan BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras pada 19 hingga 21 September 2025. BMC Family 360°, yang dianjurkan oleh AI Global dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), BMC Mall, iBidan dan CelcomDigi, merupakan acara keluarga julung kali diadakan yang berlandaskan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG). Acara selama tiga hari ini berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan disasarkan untuk memperkukuh nilai kekeluargaan, komuniti mampan dan gaya hidup pintar melalui pelbagai aktiviti interaktif, pameran, pertunjukan serta hiburan yang disesuaikan untuk semua peringkat umur.

Bagi menyerikan lagi acara ini, penyanyi terkenal tanah air Nabila Razali telah dilantik sebagai Jurucakap Acara BMC Family 360°. Sebagai ikon generasi muda yang aktif dan berpengaruh, Nabila dipilih kerana keperibadiannya yang dekat dengan keluarga dan anak muda, sekaligus mencerminkan nilai yang dibawa oleh acara ini. Beliau akan terlibat secara langsung dalam beberapa segmen utama termasuk sesi bertemu peminat, persembahan khas serta kempen promosi menjelang acara utama. "Sebagai seorang ibu, isteri dan seorang wanita kerjaya, UN SDG telah menyediakan satu pelan tindakan bagi saya dan keluarga saya untuk membina dan membangun satu keluarga yang mampan, aman dan makmur. Melalui SDG, barulah saya sedar kemampanan bukan hanya terhad kepada alam sekitar tetapi ada banyak aspek yang lain termasuk sosial dan ekonomi," kata Nabila Razali.


Acara ini menawarkan pelbagai pengisian menarik yang merangkumi pameran dan showcase oleh agensi kerajaan, swasta dan NGO selaras dengan 17 UN SDG, segmen esports dengan pertandingan dan ruang permainan interaktif untuk generasi muda, pertunjukan kebudayaan termasuk persembahan khas oleh Nabila Razali, mini zoo untuk hiburan seisi keluarga, serta pameran inovasi melibatkan pendidikan, teknologi, kesihatan, makanan dan gaya hidup lestari. Prof. Dr. Ng Kheng Lun, CEO AI Global menekankan bahawa "BMC Family 360° bukan sekadar sebuah pesta dan karnival, tetapi sebuah platform komuniti untuk keluarga melangkah ke masa depan dengan lebih sejahtera dan berdaya tahan kerana kekuatan keluarga adalah asas kepada masyarakat yang makmur dan harmoni."

Karnival keluarga bertemakan "Selangkah ke Masa Depan" ini dijangka menarik lebih daripada 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran dengan sasaran komuniti dari Kajang, Cheras dan kawasan sekitar Lembah Klang. Prof Ng turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan strategik dan penaja yang terlibat dalam menjayakan acara ini. Beliau menegaskan bahawa tema tahun ini mencerminkan langkah pertama yang kecil tetapi sangat penting, walaupun mencabar namun sangat diperlukan dalam membina masa depan yang lebih baik. Orang ramai dijemput hadir ke BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras pada 19 hingga 21 September 2025 untuk merasai pengalaman karnival keluarga terbesar tahun ini yang menggabungkan hiburan, pendidikan dan kesedaran terhadap pembangunan mampan.



Comments

Popular posts from this blog

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia