500 Pelajar SPM Beluran Berebut Rahsia Formula A+ PTTI - Apa Yang Mereka Belajar
Oleh: Norazni Ismail.
BELURAN, 29 OGOS 2025 – Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan Beluran, Sabah dipenuhi semangat belajar apabila 500 orang calon SPM dari lima buah sekolah menengah berkumpul untuk mengikuti Program Jelajah Skor A+ SPM anjuran PTTI Group Sdn. Bhd. Pusat tuisyen yang terkenal dengan rekod cemerlang dalam melahirkan pelajar bergred A ini sekali lagi membuktikan komitmennya untuk memperkasakan calon SPM di seluruh negara, termasuk kawasan luar bandar seperti Beluran. Program yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah Beluran dan Kelab Nuri Bank Rakyat ini menjadi platform terbaik bagi pelajar dari SMK Beluran II, SMK Balaban Jaya, SMK Pamol, SMK Simpangan dan SMK Terusan Sugut untuk memperoleh formula rahsia kejayaan PTTI.
Para peserta diberi pendedahan intensif dalam subjek Matematik dan Sejarah melalui kaedah pengajaran unik PTTI yang terkenal dengan pendekatan mudah faham dan teknik menjawab soalan yang terbukti berkesan. Tenaga pengajar berpengalaman PTTI berkongsi strategi-strategi khusus yang telah membantu ribuan pelajar di seluruh Malaysia mencapai gred A dalam peperiksaan SPM. Program ini bukan sekadar menyediakan ilmu akademik semata-mata, malah turut melengkapkan pelajar dengan kemahiran literasi kewangan melalui sesi khas anjuran Kelab Nuri Bank Rakyat yang menyahut seruan kerajaan dan Bank Negara Malaysia dalam membina kesedaran pengurusan kewangan bijak dalam kalangan generasi muda.
Dr. Muhammad Faizul, Timbalan Naib Presiden Komunikasi Strategik PTTI Group menegaskan bahawa setiap murid tanpa mengira lokasi berhak mendapat akses kepada teknik pembelajaran yang efektif. "Program ini membawakan formula rahsia PTTI yang telah membantu ribuan murid di seluruh negara mencapai gred A. Kami mahu calon-calon SPM di Beluran melangkah ke dewan peperiksaan dengan yakinnya," katanya. Sokongan padu turut diberikan Dr. Nancy, Pegawai Pendidikan Daerah Beluran yang menghargai kerjasama ini kerana bukan sahaja melengkapkan murid dengan kemahiran akademik, malah pengetahuan kewangan yang berguna selepas tamat persekolahan.
Sebagai komitmen berterusan, PTTI turut menaja pembukaan akaun Kelab Nuri Bank Rakyat untuk semua pelajar yang hadir di samping memberikan modul pembelajaran percuma sebagai bahan rujukan menjelang peperiksaan. Puan Azilla Nasarudin, Timbalan Presiden Deposit Bank Rakyat menyatakan kepercayaan bahawa pendidikan akademik dan pengurusan kewangan harus berjalan seiring untuk memberikan permulaan yang baik kepada pelajar dalam mengurus wang dengan bijak sambil memupuk tabiat menabung sejak awal. Dengan reputasi sebagai pusat tuisyen yang melahirkan ribuan pelajar cemerlang, PTTI sekali lagi membuktikan bahawa pendidikan berkualiti tidak terbatas pada lokasi dan dapat diakses oleh semua demi masa depan generasi muda yang lebih gemilang.


Comments
Post a Comment